Tuesday, July 28, 2009

Kapal Aux.TLDM BM5 a.k.a Bunga Mas 5


MISC Berhad, dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), telah berjaya mengubahsuai kapal kontena Bunga Mas Lima kepada sebuah kapal Auxiliary TLDM bagi tujuan mengiringi dan melindungi kapal-kapal MISC yang melalui Teluk Aden.

Bunga Mas Lima, sebuah kapal kontena bersaiz 699 TEU, merupakan kapal dagang pertama di Malaysia yang diubahsuai sebagai sebuah kapal Auxiliary TLDM. Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), anak syarikat MISC, di limbungan kapal MMHE, Pasir Gudang, Johor.

Projek pengubahsuai kapal Bunga Mas Lima telah diusahakan berikutan insiden rampasan dua kapal MISC, Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima. MISC, TLDM dan MKN telah berkerjasama menyelesaikan kedua-dua insiden tersebut. Sejak insiden rampasan Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima, TLDM telah melancarkan OP FAJAR iaitu misi menyelamat, mengiringi serta melindungi kapal-kapal MISC yang melalui Teluk Aden. Sehingga kini TLDM telah menghantar lima buah kapal iaitu KD LEKIU, KD SRI INDERAPURA, KD MAHAWANGSA, KD SRI INDERA SAKTI dan KD HANG TUAH dalam menyokong misi tersebut.



Melalui pengoperasian Bunga Mas Lima, kapal tersebut akan dikenali sebagai Kapal Auxiliary TLDM BM5. Sejajar dengan perkembangan ini, KD SRI INDERAPURA yang kini bertugas di Teluk Aden akan kembali ke Malaysia pada bulan Jun 2009.

Berdasarkan undang-undang antarabangsa, kapal auxiliary adalah kapal selain dari kapal perang yang dimiliki atau di bawah kawalan pemerintahan tentera. Ianya dioperasikan oleh kerajaan dan diberi keistimewaan sovereign immunity.

Kapal Auxiliary TLDM BM5 dianggotai oleh krew MISC dan anggota tetap ATM. Kesemua krew MISC telah diserap sebagai anggota Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dan telah menjalani latihan asas ketenteraan. Krew MISC akan menjalankan urusan navigasi dan senggaraan terhadap kapal manakala pegawai dan anggota TLDM yang berada di kapal pula bertanggungjawab bagi semua operasi yang melibatkan keselamatan.

Bagi MISC, projek pengubahsuaian dan pengoperasian kapal Bunga Mas Lima membuktikan komitmen syarikat tersebut terhadap keselamatan para pekerja serta kapal-kapal MISC terutama dari segi ancaman lanun yang semakin meningkat juga membahayakan operasi MISC di Teluk Aden.

Bagi TLDM pula, konsep pengoperasian Kapal Auxiliary TLDM BM5 merupakan salah satu kompenan penting dalam merealisasikan hasrat dan impian negara khususnya Angkatan Tentera Malaysia yang mengamalkan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) seperti yang terkandung di dalam Dasar Pertahanan Negara.

Majlis pengoperasian Kapal Auxiliary TLDM BM 5 telah diadakan di limbungan kapal MMHE di Pasir Gudang hari ini bagi meraikan kejayaan projek pengubahsuaian Bunga Mas Lima. Turut hadir di majlis tersebut adalah Datuk Dr. Abdul Latif bin Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Laksamana Dato’ Sri Abdul Aziz Haji Jaafar, Panglima Tentera Laut dan En. Amir Hamzah Azizan, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, MISC Berhad.

MV Bunga Mas Lima



Specifications
Owner M.I.S.C., Malaysia
Shipyard MSE, Malaysia

Main dimensions
Length overall 32,80 m
Breadth mld 7,5 m
Draught design 22,7 m
Depth 10.8M
DWT 9000
Service speed 17kn



source:
http://www.navy.mil.my/content/view/432/18/lang,en/
http://www.malaysiandefence.com/?p=599

No comments:

Post a Comment